Monday 3 October 2011

Berita Harian Online | Jangan bohong

Berita Harian Online | Jangan bohong
Kesan tipu sejak usia awal boleh jadi kebiasaan sampai ke tua

KATA pepatah ‘siakap sinohong, gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri’. Itu implikasi yang kita diajar sejak kecil. Tetapi Pengarah Institut Kajian Kanak-kanak, Universiti Toronto, Dr Kang Lee mengatakan, itu petanda bahawa otak mereka cepat berkembang dan kemungkinan memiliki kehidupan yang berjaya, pada masa depan.
Ini kerana ia membabitkan proses fungsi otak bekerja seperti mengintegrasikan sumber informasi dan memanipulasi data berkenaan, seperti memproses cerita sebelum lahir menerusi tutur bicaranya, disifatkan sebagai membina kognitifnya.
Barangkali ramai yang tidak bersetuju kerana bohong tetap salah. Anak kecil yang sedang bercakap bohong di depan kita selalunya kelihatan comel dengan mata yang berkelip-kelip lantaran ‘sedang’ mereka cerita.

Tetapi sebagai orang dewasa, kita tidak seharusnya cepat panik dan marah bila anak mulai berbohong. Kerana itu juga pengalaman kita menangani anak. Boleh jadi dia belajar berbohong daripada ibu bapanya sendiri yang pernah berbohong di depannya.

Kanak-kanak mula berbohong apabila dia sudah boleh bercakap dan memahami seawal usia dua tahun. Kanak-kanak itu sendiri sebetulnya faham bila dia berkata benar atau sebaliknya. Tetapi pada usia berkenaan, selalunya tidak sukar untuk ‘membongkar’ penipuan itu kerana selalunya pada usia berkenaan dia melakukan demikian demi meraih pelukan atau perhatian ibu bapanya.

Ibu bapa atau orang dewasa perlu membezakan antara bohong dan imaginasi. Sebagai contoh sekiranya anak kecil bercerita mengenai kehebatan kucing yang tiba-tiba boleh bertukar menjadi makhluk asing. Dia mungkin tidak bermaksud sedemikian. Ibu bapa perlu mendengar tetapi jangan terlalu berkeras atau marah kerana kadangkala anak kecil bercerita demikian sebagai isyarat kepada ibu bapa untuk berkunjung ke zoo misalnya, atau menonton cerita mengenai haiwan.
Pembohongan dilakukan anak menjadi lebih serius bila dia berbohong kerana ingin menyelamatkan diri sendiri seperti menuduh orang lain mencuri sedangkan perbuatan itu sebenarnya dilakukannya. Keadaan boleh bertukar rumit bila memiliki ibu bapa yang mudah naik angin bila anak melakukan kesalahan itu.

Anak berfikir, daripada sakit dirotan, lebih baik bercakap bohong, sudah pasti tidak dimarahi.

Anda sendiri pernah berbohong di depannya, tetapi mungkin anda tidak perasaan. Sebagai contoh anda ingin mengalih stesen televisyen dengan mengatakan siaran kartun sudah habis, sedangkan belum.

Menjadikan bohong sebagai hobi harus dihentikan. Sekiranya dibiarkan, anak merasa seronok berbohong selalu dan lebih parah bila dia memikirkan bohong sebagai penyelesaian paling mudah sekiranya berhadapan dengan sesuatu masalah.

Jika anggota keluarga pula kerap berbohong, seperti si ayah, menjanjikan akan membeli mainan sekiranya anaknya berkelakuan baik, tetapi sebenarnya hanya umpan. Sekiranya si ayah gagal laksanakan janjinya, anak akan anggap ayahnya menipu. Peristiwa itu akan memberikan tekanan dalam fikiran anak hingga akhirnya si kecil memikirkan bohong atau tak penuhi janji, suatu kebiasaan.

INFO:


  • Beri penjelasan secukupnya - anda tidak perlu memberi penjelasan moral panjang lebar pada si kecil, tetapi cukup dengan mengatakan apabila berbohong anda akan berasa sedih. Anak-anak sensitif terhadap perasaan ibu bapanya.

  • Jangan menciptakan suasana untuk bohong - seperti orang dewasa, si kecil pun tidak akan mengakui pembohongan dilakukan itu, apatah lagi sekiranya dia akan dimarahi. Justeru amalkan bertanya menggunakan ayat yang tepat tetapi bukan dalam nada marah.

  • Anda seharusnya tahu membezakan antara cerita fantasi atau kenyataan. Kalau terlalu banyak fantasi pun tidak baik. Jelaskan sebaiknya kepadanya.

  • Hindari marah dan reaksi berlebihan - bagi anak, kemarahan orang tua lebih menakutkan berbanding hukuman yang harus dia hadapi. Anda patut menyiasat, mengapa ia berbohong. Terangkan kepadanya perbuatan itu tidak baik.

  • Hormati peribadi anak anda - kalau dia bercerita kepada anda dan tidak mahu cerita itu dibocorkan kepada orang lain, jangan lakukan, melainkan ada alasan kukuh untuk anda berbuat demikian, seperti anak menerima ugutan dan sebagainya.

  • Yakin kepada diri anak - ahli psikologi setuju bahawa seorang anak yang mempunyai harga diri dan tinggi rasa yakin diri, tidak suka berbohong. Justeru tingkatkan perasaan itu dengan bina komunikasi dan hubungan positif dalam keluarga.

  • No comments:

    Post a Comment